MWTI News & Events
BAHAS 4PM
Pertandingan Bahas 4PM anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) ialah sebuah platform yang menguji kemahiran berhujah dan berdebat dalam kalangan pelajar, khususnya peringkat prauniversiti. Para peserta diberi peluang untuk mengasah kemahiran berfikir secara kritis dan berkomunikasi dengan berkesan. Sejak di bawah bimbingan dan tunjuk ajar Cikgu Ahmad Aidil Hadri pada tahun 2021, penyertaan MWTI dalam pertandingan bahas semakin aktif dan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, dengan pelajar-pelajar semakin berbakat dalam seni perbahasan. Pada tahun 2024, para pembahas daripada Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTI) telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan ini, selaku pihak pencadang dengan mauduk ‘Sistem meritokrasi berjaya mengurangkan ketidaksamaan dalam masyarakat’.
Meskipun tidak dapat menamatkan kemarau kejuaraan MWTI sejak tahun 2005, pembahas Saqina Qamilia Binti Suwandi telah berjaya merangkul gelaran Pembahas Terbaik pada peringkat akhir perbahasan, yang berlangsung pada 17 Ogos 2024. Beliau, turut dinamakan Pembahas Cemerlang bagi peringkat saringan, Pembahas Terbaik bagi peringkat separuh akhir, serta Pembahas Terbaik Keseluruhan siri bahas 4PM 2024.

